Bolehnya Memukul Untuk Mendidik Seorang Anak
Sebagaimana janji saya pada post sebelumnya tentang mendidik anak, agar saya menjelaskan boleh nya memukul seorang anak untuk mentarbiyah ataupun mendidik.
Syariah Islam telah menetapkan kewajiban bagi suami untuk
mendidik (ta’dib) isteri dan anak-anaknya agar taat kepada Allah. Hal ini
sesuai firman Allah Ta’laa:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu
dan ahli keluarga kamu daripada api neraka." [ At-Tahrim (66): 6].
Suami harus bersungguh-sungguh dalam melakukan ta’dib
terhadap isteri dan anak-anak kerana suamilah yang bertanggung jawab dalam
membentuk rumah tangga. Jika suami berjaya membentuk isteri dan anak-anaknya
sehingga mereka menjadi individu-individu yang berkeperibadian Islam dan bersedia mengharungi kehidupan ini sebagai
hamba Allah, maka suami dianggap telah berjaya memikul amanahnya sebagai qawwam
(pemimpin) dalam rumah tangga.
Dalam melakukan ta’dib, syariah Islam telah memberikan
pengaturan yang sangat jelas. Secara umumnya, banyak nas yang memerintahkan
supaya para suami dan orang tua berlaku lemah lembut dalam melakukan ta’dib.
Namun, pada masa yang sama, Islam juga memberikan pengaturan dalam bentuk
kebolehan untuk memukul “jika memang diperlukan”.
Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk
memukul ketika menta’dib isterinya adalah sepertimana ayat berikut:
الرِّجَالُ
قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا
فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى
بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ
أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ
وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ…
“Laki-laki adalah pemimpin kaum
wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas
sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian
daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan
memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.
Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah
mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”. [ An-Nisa’ (4): 34].
Ayat di atas ini menggambarkan tentang konsep kepemimpinan
seorang suami dalam rumah tangga serta ketaatan isteri kepada suami. Ayat
tersebut mengatakan bahawa laki-laki adalah pemimpin rumah tangga kerana
keutamaannya (sebagai lelaki) dan laki-laki bertanggung jawab dalam memenuhi
nafkah isteri serta ahli keluarganya.
Isteri yang baik (solehah) adalah isteri yang taat kepada Allah dan memelihara
diri (tidak curang, memelihara rahsia dan harta suaminya ketika suaminya tidak
ada di rumah). Apabila isteri membangkang (nusyûz) dengan tidak menjaga dirinya
daripada melakukan curang, menolak ajakan
untuk berjimak (bersetubuh) atau keluar daripada rumah tanpa izin
daripada suaminya, maka suami boleh melaksanakan langkah-langkah yang
disebutkan iaitu menasihatinya, berpisah daripada tempat tidur, dan jika perlu,
memukul untuk menta’dib isterinya.
Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb
terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:
مُرُوا
أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ
سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ
“Perintahkanlah anak-anak kalian
untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia
sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”. [HR Abu Dawud dan
al-Hakim].
Dalam hadis ini, Rasulullah menggunakan ungkapan muruu
(perintahkanlah) untuk anak yang berumur di bawah 10 tahun dan idhribuu
(pukullah) untuk yang berumur 10 tahun dan ke atas. Dengan demikian, Rasul
membolehkan untuk memukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu solat. Namun,
bagi anak yang berusia di bawah 10 tahun, tidak diperkenankan untuk memukulnya.
Ini untuk soal solat, apatah lagi dalam masalah-masalah lain selain daripada
solat. Kebolehan untuk memukul di sini
bukan bererti wajib.
Pukulan Ta’dib: Bukan Keganasan
pada hukum syariah. Kebolehan untuk memukul dalam rangka
untuk menta’dib telah dijelaskan dengan dalil yang wadhih (jelas) dan ia tidak
termasuk dalam kategori kekerasan/keganasan atau kejahatan.
Secara realitinya, memukul itu kadang-kadang diperlukan
dalam rangka menta’dib. Kadangkala dalam membaiki sesuatu kesalahan memerlukan
sikap yang tegas. Memang terdapat jenis-jenis manusia yang tidak mahu berubah
daripada kesalahannya kecuali apabila dilayan dengan keras. Ada isteri yang
tidak mahu mendengar nasihat dan dia tidak mahu kembali (berubah) daripada
kesalahannya serta tetap berada dalam keadaan nusyuz. Padahal dengan nasihat
suami, seharusnya sudah cukup untuk isteri merasa takut terhadap ancaman Allah
atau terhadap kemudaratan akibat ancaman terputusnya nafkah. Sekiranya hajr
(pemisahan daripada tempat tidur) dengan maksud suami 'tidak menyentuhnya'
supaya isterinya insaf juga tidak membawa apa-apa perubahan pada dirinya, maka
pada saat seperti itulah diperlukan cara yang lain untuk memperbetulkannya,
iaitu melalui pukulan. Demikian juga terhadap anak, apabila pendidikan tidak
mampu lagi diberikan dengan cara memberikan nasihat, arahan, petunjuk,
kelembutan ataupun suri teladan, maka dalam keadaan seperti ini kadangkala
memerlukan pukulan.
Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa menta’dib isteri
dan anak melalui pukulan ini bukanlah sebagai penghinaan ke atas mereka, dan
bukan pula sebagai untuk membalas dendam atau untuk menyeksa. Tetapi ia adalah
dalam rangka untuk mendidik, memperbaiki dan meluruskan. Pukulan ini disertai
dengan rasa kasih sayang sebagai seorang suami kepada isterinya, atau sebagai
orang tua kepada anaknya. Dan pukulan ini bukanlah pukulan yang kuat sehingga
membuatkan isteri lari daripada suaminya atau sehingga anak menjauhkan diri
daripada orang tuanya, kerana ini akan menumbuhkan pula kebencian dan
menghapuskan rasa cinta.
Di dalam hukum fikih, ada pukulan yang diistilahkan sebagai
dharb mubarrih dan dharb ghairu mubarrih:
1. Dharb mubarrih ialah pukulan yang kuat/keras sehingga
dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan
anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang dalam syariah dan termasuk sebagai perkara
yang diharamkan.
Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan
kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran
syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan
tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).
Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah
pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak
meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah.
Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya
pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar
tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara
fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan
menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh
dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”
Atha’ rahimahullahu berkata: Aku pernah bertanya kepada Ibnu
Abbas radhiyallahu ‘anhuma, “Apakah yang dimaksudkan dengan pukulan ghairu
al-mubarrih?” Ibnu Abbas ra menjawab, “Memukul dengan siwak/kayu sugi dan yang
seumpama dengannya.”
Menolak Tuduhan
Undang-undang Islam terbukti mampu memberikan solusi
terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh suami mahupun orang tua dalam
rangka melakukan ta’dib. Demikianlah keunggulan syariah yang lahir daripada
akidah Islam. Jika syariah Islam ini difahami dan diamalkan dengan
bersungguh-sungguh sebagai tanda ketaatan kepada Sang Khaliq, maka akan
terurailah semua masalah yang dihadapi oleh manusia.
Adapun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh golongan liberal bahawa kononnya Islam
menggalakkan kekerasan/keganasan dalam rumah tangga adalah jelas tertolak
melalui penjelasan dalil dan fakta di atas. Tuduhan-tuduhan tersebut lahir
semata-mata disebabkan kebencian mereka terhadap hukum-hakam Islam. Mereka
sentiasa berusaha untuk menanamkan prinsip liberal atas nama hak asasi manusia
(HAM). Dalam pandangan liberal, jika seseorang isteri menolak untuk melayani
suaminya dengan alasan bahawa setiap isteri mempunyai hak atas tubuhnya secara
peribadi, maka itu adalah hak isteri yang harus diakui. Suami tidak berhak
untuk memaksa apatah lagi menta’dib dengan pukulan. Begitu juga apabila
seseorang anak yang sudah baligh tidak mahu melaksanakan perintah agama, maka
ia dianggap sebagai 'hak kebebasan' bagi anak dalam membuat pilihan yang sedang
mencari jatidirinya sendiri. Orang tua tidak berhak untuk memaksa apatah lagi
untuk menta’dibnya dengan pukulan. Pandangan liberal seperti ini sudah
semestinya tidak layak untuk diambil dan dijadikan dasar bagi seseorang Muslim.
Pada hakikatnya, pandangan golongan liberal ini tidak memiliki landasan
berfikir kecuali akal semata-mata.
Wallahu a’lam.
Wallahu a’lam.
Dipublikasikan oleh: Muhammad Abdurrahman Al Amiry
Anda diperkenankan untuk menyebarkan, re-publikasi, copy-paste atau mencetak artikel yang ada di al-amiry.blogspot.com dengan menyertakan al-amiry.blogspot.com sebagai sumber artikel

0 komentar:
Posting Komentar